Pages

Showing posts with label cara pembersihan. Show all posts
Showing posts with label cara pembersihan. Show all posts

Saturday, December 11, 2010

Kewajipan umat muhammad


Umat Islam dikatakan mempunyai kewajipan melaksanakan Islam, sebagai penyelesaian segala kemelut yang berlaku hari ini. Tidak akan ada penyelesaian bagi segala kemelut yang melanda umat Islam hari ini, selagi mana nafsu Ammarah dan Lawammah tidak diproses.

Jika ada 1000 orang dalam nafsu Ammarah di dunia ini, maka akan ada 1000 perangai, pemikiran dan pendapat yang berlainan yang tidak akan dapat disatukan kerana nafsu Ammarah mempunyai keegoaan dan keakuan yang tinggi. Masing-masing mengatakan mereka yang lebih benar, lebih bijak, lebih berwawasan dan sebagainya.

Tetapi jika ada 1000 orang di dalam nafsu Mutmainnah, mereka semuanya akan menjadi satu, kerana semuanya memandang Keesaan Allah yang satu dan sepakat dengan segala hukum dan peraturan mengikut Al-Quran dan As-Sunnah.

Bolehkah mereka yang bernafsu Ammarah melaksanakan Islam, sedangkan sifat nafsu mereka itu sendiri selalu membelakangkan Allah SWT? Jika disuruh, dipujuk dan dipaksa si nafsu Ammarah melaksanakan Islam contohnya mengerjakan solat, berpuasa, menutup aurat dan sebagainya, mereka akan melakukannya tetapi jiwa mereka kosong dalam menghayati Kebesaran dan Keesaan Allah SWT. Tidak akan ada pengorbanan dan keikhlasan dalam melakukan yang disuruh dan ditegah Tuhan.

Jadilah ibadatnya hanya satu lakonan atau tradisi yang dipaksakan ke atas mereka kerana Islam mereka ialah Islam keturunan dan Iman mereka ialah Iman keturunan. Tidak ada jiwa dan roh Islam di dalam hati mereka yang bernafsu Ammarah dan Lawwamah. Jika si nafsu Ammarah ini membuat program-program untuk melaksanakan Islam, programnya juga masih bercampur-baur dengan segala kekufuran dan kesyirikan kerana si nafsu Ammarah dalam segala kerja buatnya tetap akan cuba meraih kepopularan, keakuan tanpa keikhlasan kepada Tuhannya.

Di sini, sepatutnya kita bertanya kepada diri kita sendiri mengapa setelah begitu banyak program yang kita jalankan untuk Islam tetapi kesannya sangat sedikit. Tidak akan ada keberkatan segala usaha kita itu jika tidak disertai dengan keikhlasan kita kepada Allah SWT. Walau bagaimanapun, sedikit kepura-puraan atau ada sedikit kepentingan diri dalam melaksanakan Islam itu lebih baik daripada menentang dan tidak berbuat apa-apa. Semoga Allah kemudiannya memberi memberi mereka taufik dan hidayahNya.

Proses nafsu ammarah


A-Ulama membersihkan hatinya, bermula dengan pengetahuan Feqah di susuli dengan usulluddin dan tauhid:

1.Membersihkan badannya, dengan mengikut segala peraturan Syariat,
2.Tariq dan Ibadat di dalam bab Fardu Ain dan Fardu Kifayah.
3.Kemudian barulah dia membersihkan hatinya.

Cara ini mengambil masa yang lama dan panjang walaupun dibuat dengan cara yang bersungguh-sungguh kerana ilmu Syariat itu sendiri terlalu luas dan banyak. Inilah yang diterap kan oleh umum masa kini, sehingga kadangkala terlupa perihal kenal akan Allah dek jangkamasa yang panjang. Pengukuhan akan Syariat penting agar tidak menjadi sombong dan gah pada pencipta yakni Allah.

B-Pembersihan jiwa pada Allah dgn rasa sebenar-benarnya takut pada Allah, untuk sampai kepada Allah dengan lebih cepat ialah mengaplikasikan cara yang dilakukan oleh para Anbiya dan para Aulia.

Pengosongan hati dan pembersihan jiwa agar terbuka mata hati. Denagn menghilangkan segala bisikan dan membuat tumpuan kepada Allah SWT, contohnya Nabi Muhammad SAW membersihkan hatinya dengan berkhalwat di gua Hira selama 5 tahun, selepas itu barulah baginda diangkat menjadi Rasul.

” Takut Tuhannya dengan erti kata takut yang sebenar-benarnya ialah menggunakan cara yang dilakukan oleh para Anbiya dan para Aulia”

Kesimpulan, selaras mengikut masa dan zaman, pengukuhan hati dan ibadah pada Allah haruslah dilakukan dengan bersama-sama tanpa menolak salah satu daripadanya, Fekah, Usulluddin dan Tauhid.        

Pendekatan yang digunakan oleh ahli-ahli sufi dan para Wali :

1. Mencari Guru Mursyid
2. Banyakkan berselawat, beristighfar, berzikir (dan lain-lain amalan yang diajar oleh guru)
3. Tumpuan media perasaan dan fikiran kepada Allah

SELAWAT


Selawat adalah amalan yang sangat disukai oleh Allah Taala sehingga Allah Taala dan MalaikatNya juga berselawat ke atas RasulNya:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
(Al-Ahzab : 56)

Di dalam hadis Rasulullah juga ada menyatakan tentang kelebihan berselawat ini, iaitu:

” Orang yang paling mulia dan lebih utama, di sisiKu ialah pada hari Kiamat ialah orang paling banyak berselawat ke atasKu”(Imam Muhyiddin Abi Zakaria Yahya bin Syarafuddin An-Nawawi,T.TH:316)

Kelebihan-kelebihan berselawat:

1. Para Malaikat akan berselawat pula ke atas pembaca selawat itu dan Allah akan menurunkan
    rahmatNya.
2. Allah akan mengurniakan kekayaan seumur hidupnya.
3. Mereka yang berselawat 500 kali sehari, Insya Allah akan memperolehi kemenangan dan
    keselamatan selamanya.
4. Akan terhapus sifat marah dan terjauh dari bala bencana.
5. Menjadi kekasih kepada Kekasih Allah
6. Terhindar daripada mengalami kesukaran untuk mencapai sesuatu yang dihajati.
7. Mendapat rezeki yang berkat, berhasil hajatnya dan terlindung daripada bala bencana.
8. Mendapat syafaat di dunia dan di akhirat. ( Haji Johari Haji Alias, 2001: 46-48 )

Ada banyak lagi kelebihan selawat itu jika diamalkan secara ikhlas. Di sini jelas, selawat adalah salah satu kaedah yang telah Allah SWT ajar kepada kita untuk meyelesaikan kemelut nafsu Ammarah dan Lawwamah.

Nabi Adam AS, manusia pertama di dunia, juga menyelesaikan kemelutnya ketika dikeluarkan dari syurga, iaitu bertawassul dengan menggunakan nama Nabi Muhammad SAW.

Apabila Nabi Adam AS tercampak ke dunia, selama 40 tahun, baginda menangis memohon keampunan daripada Allah Taala. Setelah diketemukan semula baginda dengan isterinya Hawa, iaitu di Jabal Rahmah, Adam AS dibuka kasyafnya oleh Allah Taala untuk melihat kalimah:

لا إله إلا الله محمد رسول الله 


Perkataan ini dilihat oleh Nabi Adam AS tertera di tiang Arash syurga. Dengan menggunakan Kebesaran dan Keberkatan nama Nabi Muhammad SAW, Adam memohon keampunan daripada Allah SWT sambi mengucapkan dua kalimah syahadah ini. Allah Taala kemudiannya mengampunkan Nabi Adam AS.

Contoh lain ialah kisah Qabil dan Habil (anak Nabi Allah AS). Ketika Qabil yang telah membunuh saudara kandungnya Habil, sedang ditenggelamkan oleh Allah SWT hingga ke paras pinggang ke dalam tanah, tiba-tiba teringat dia akan pengalaman ayahnya iaitu Nabi Adam AS lalu Qabil bertawwasul dengan Kebesaran dan Keberkatan nama Nabi Muhammad SAW, sehingga azabnya diringankan daripada ditelankan bumi kepada dicampakkan sahaja di tengah-tengah padang pasir. ( Hj Abdul Al-Hadhi: 26-28 )

ZIKIR

Di dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman:
.
Yang bermaksud:“Dan hendaklah kamu mengingati akan Allah sebanyak-banyaknya (dalam segala keadaan) supaya kamu mendapat kejayaan.”(Surah Aj-Jumu’ah:10)
.

Fadhilat dan kebesaran zikir juga ada dinyatakan di dalam hadis:

Rasulullah SAW bersabda,

“Jika kamu melalui taman-taman syurga hendaklah kamu bertenang.” Maka para sahabat pun bertanya, “Ya Rasulullah, apa itu taman-taman syurga?” Lalu Rasulullah menjawab, “Taman syurga itu ialah halaqah zikir, maka sesungguhnya bagi Allah itu tunggangan-tunggangan daripada para malaikat yang mencari-mencari halaqah zikir maka apabila merxeka menemui kumpulan ini, para malaikat itu akan menghamparkan sayapnya menaungi mereka-mereka yang sedang berzikir.” (Apabila para malaikat menaungi kumpulan-kumpulan zikir ini, secara tidak langsung kumpulan ini mendapat rahmat dan keampunan Allah).Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Umar.

Kesan amalan zikir dilakukan yang dilakukan secara berterusan pula dikatakan akan:

1. Menghalau tenaga-tenaga jahat dan mengelakkan gangguannya.
2. Mendapat keredhaan Tuhan
3. Memurahkan rezeki
4. Menjadikan peribadi mulia dan agung
5. Mencapai taraf kehampiran dengan Allah
6. Menghidupkan dan menyedarkan hati
7. Menghilangkan kesilapan dan kecacatan
8. Memelihara mulut daripada mengumpat dan mengeji
9. Menyembuhkan penyakit hati
10. Membuangkan ketakutan dan dukacita di dalam hati
11. Menghindarkan sifat-sifat munafik

Mencapai kemenangan apabila berhadapan dengan musuh zahir dan batin Dalam ilmu tasawwuf, melihat terlalu banyak fadhilat atau kebaikan dalam setiap amalan yang kita lakukan seharusnya dihindarkan. Di dalam peringkat nafsu Ammarah dan Lawwamah, kita tidak dapat mengelakkan diri kita daripada membuat sesuatu tanpa mendapat ganjaran dan hadiah-hadiah yang Allah nyatakan dalam bentuk fadhilat-fadhilatNya ini. Para guru tasawwuf akan membimbing muridnya, mengosongkan diri mereka daripada mengharapkan sesuatu daripada amalan mereka. Ini kerana inginkan syurga dan takutkan neraka ini masih lagi dikira ajalat. Bukankah syurga dan neraka itu juga makhluk Allah?
Tumpuan amalan kita ialah semata-mata menjadi hamba Allah yang sehamba-hambanya seperti kata-kata Rabiatul Adawiyah:

“Ya Allah! Jika aku menyembahMu kerana takut kepada neraka bakarlah aku di dalam nerakaMu. Dan jika aku menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu, campakkanlah aku keluar daripada syurgaMu. Tetapi jika aku menyembahMu demi Engkau semata, janganlah Engkau enggan memperlihatkan wajahMu yang abadi kepadaku.”

Secara halus tanpa kita sedari, jika kita melakukan sesuatu amalan kerana inginkan fadhilatNya akan terdetik hati kita suatu hari nanti, perasaan kecewa seandainya Allah menangguhnya atau melambatkan fadhilat-fadhilat ini. Contohnya dapat kita lihat pada mereka yang suatu ketika dahulu kuat beribadat tetapi kemudiannya berubah, lalu sukakan maksiat. Perubahan sikap ini berlaku kerana amalan-amalan yang mereka tidak dapat membersihkan aqdar-aqdar kekotoran nafsu Ammarah dan Lawwamah mereka.

Menurut Imam Al-Ghazali, untuk menjadi ‘Orang Allah’ atau Kekasih Allah dan mendapat ilmu Allah, orang itu mestilah terlebih dahulu berawas sebelum berjaya iaitu berhati-hati dengan godaan hawa nafsu dan maksiat yang ada pada nafsu Ammarah dan Lawwamah. Dan telah berkata Imam Al-Ghazali:
“Sesungguhnya ada seketul daging di dalam badan (hati), apabila suci ia, maka akan sucilah seluruh anggota badannya. Hati ibarat raja dan badan ibarat rakyat. Jika raja memimpin lurus maka luruslah seluruh rakyatnya.”
(makam imam al-Ghazali)

Pengajaran daripada kata-kata nasihat Imam Al-Ghazali ini ialah hati dan pemikiran kita mestilah kita hindarkan daripada segala bisikan hawa nafsu. Hati ini juga, mestilah sentiasa kita gilap dengan selawat, istighfar dan zikir. Kerana ketiga-tiga amalan ini bertentangan dengan bisikan dosa dan maksiat. Di sini, segala amalan dan kebaikan yang kita lakukan mestilah semata-mata kerana Allah tanpa mengharap apa-apa ganjaran daripadaNya. Apabila seseorang itu sudah sampai ke peringkat ikhlas dan luhur yang sebenar-benarnya, maka sampailah ia ke tahap di mana ilmu yang diperolehi dari kitab dan buku tidak perlu lagi (peringkat ilmu Laduni).

Di peringkat maqam nafsu Mutmainnah, kita sebenarnya sudah ada kekuatan menyelesaikan segala kemelut nafsu yang juga merupakan punca segala kemelut kehidupan. Di peringkat nafsu Mutmainnah ini, kita sudah mendapat ‘Jemputan Tuhan’ untuk menjadi kekasih yang dikasihiNya. Kerana pada peringkat nafsu ini, kita telah ada sifat-sifat mulia sebagai hambaNya yang redha, sabar, yakin, zuhud, taqwa dan lain-lain. Hamba-hamba Allah yang mulia dan berjiwa tenang ini tentulah tidak ada apa-apa kemelut dalam hati dan kehidupannya, walaupun dirinya sebatang kara dan sehelai sepinggang.