Pages

Saturday, December 11, 2010

Kemelut umat Islam

Pelbagai kemelut melanda umat Islam hari ini. Umat Islam semakin keliru dan dikelirukan oleh pelbagai pemikiran, sangkaan, andaian dan pandangan. Umat Islam yang lemah pegangan agamanya akan mudah terlibat dalam kemelut sosial seperti penagihan dadah, sumbang muhrim, zina, khalwat, judi dan sebagainya. Dalam ekonomi pula, umat Islam terbabit dalam rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.

Dalam politik, umat Islam mudah menjerumuskan dirinya dalam penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, penindasan dan lain-lain. Dalam bidang agama pula, umat Islam mudah terkeliru dalam isu kafir-mengkafir, ajaran sesat, taksubiah dan sebagainya. Jika kita perhatikan, segala kemelut umat Islam yang berlaku hari ini, juga berlaku pada umat Islam sebelum ini. Apa yang berlaku hari ini bersesuaian dengan zaman ini, dimana kebendaan, kuasa dan pengaruh menjadi matlamat utama manusia. Di sini, untuk melihat punca-punca berlakunya kemelut ini marilah kita kembali melihat fitrah asal kejadian manusia itu sendiri.

Allah SWT menjadikan manusia daripada roh Nur Muhammad SAW. Roh ini sungguh cantik (kecantikan Jamaliah). Kemudian Allah SWT menjadikan akhlak dan akal. Di sini, ia dinamakan Nur kerana ia bersih daripada segala zulmah dan ada unsur-unsur kemalaikatan.

Akal, Allah SWT jadikan untuk memikirkan yang baik-baik. Akal yang memikirkan haru-biru itu tidak dinamakan akal, sebaliknya akal itu adalah nafsu kita sendiri. Segala kejadian Tuhan tunduk kepada KebesaranNya kecuali nafsu. Apabila Allah SWT menjadikan nafsu, nafsu dengan sombongnya tidak mengaku Keesaan Tuhan.

Nafsu tetap mengatakan, “Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau, iaitu apabila Allah SWT bertanya kepada nafsu siapa dirinya.

Kesombongan nafsu menyebabkan ia dibenam di dalam api neraka selama 100 tahun dan apabila ia dikeluarkan daripada api neraka dan ditanya soalan yang sama, nafsu masih sombong dan angkuh dengan memberi jawapan yang sama lalu ia dibenam lagi dalam api neraka selama 100 tahun. Sebanyak 4 kali, nafsu dibenam di dalam api neraka sehingga akhirnya nafsu sendiri menyerah kalah dan mengaku Keesaan Tuhan.

Di sini, jika kita mengkaji sifat kejadian nafsu dapatlah kita simpulkan bahawa nafsu sejak azali iaitu sejak ia berada di alam Lahut (Alam Ketuhanan) telah menjadi dalang utama segala kemelut dan haru-biru kerana keengganannya mengakui Keesaan Tuhan.

Nafsu Ammarah ialah nafsu yang segala pemikiran, sangkaan, andaian, pandangan dan tindak tanduk manusia yang membelakangkan Allah SWT. Nafsu Ammarah dan Lawammah ialah musuh paling hampir dalam diri kita, kerana nafsu Ammarah adalah sebahagian daripada diri kita. Nafsu Ammarah berada di dalam diri kita. Nafsu Ammarah terutamanya selalu memikirkan segala usaha buatnya adalah atas keupayaannya sendiri. Nafsu Ammarah juga selalu memikrkan perancangan atau kejayaan mereka dala satu-satu usaha kerana kecerdikan, kepintaran dan keupayaannya.

Nafsu Ammarah dan Lawammah mudah diperdaya oleh iblis dan kuncu-kuncunya. Apabila iblis dan kuncu-kuncunya menguasai dan merasuk jiwa-jiwa Ammarah dan Lawammah maka makin tak terkawallah nafsu Ammarah manusia sehingga ada bapa yang sanggup merogol anaknya sendiri, ada ibu yang sanggup menjual dan membuang anaknya, ada suami yang sanggup mendera isterinya dan ada anak yang manghambakan ibu bapanya.

Nafsu Ammarah yang dikuasai oleh iblis dan kuncu-kuncunya kadangkala bersifat lebih rendah daripada nafsu haiwan yang tidak berakal. Bayangkanlah pula jika mereka yang bernafsu Ammarah ini dipilih menjadi pemimpin dunia, negara, masyarakat dan keluarga. Akan hancurlah Iman dan Islam di tangan nafsu-nafsu Ammarah ini. Mereka akan memajusi dan menasranikan orang-orang yang di bawah pimpinannya melalui perancangan dan tindak tanduknya.

Di sini, nafsu Ammarah perlulah diproses sebagaimana Allah SWT memproses nafsu dengan membakarnya di dalam api neraka selama 400 tahun. Nafsu kita juga perlu diproses untuk mengenal Tuhannya secara berperingkat-peringkat iaitu daripada:

1. Nafsu Ammarah
2. Nafsu Lawammah
3. Nafsu Mulhimah
4. Nafsu Mutmainnah
5. Nafsu Rodhiah
6. Nafsu Mardiah
7. Nafsu Kamilah

Hanya nafsu yang telah diproses pada peringkat Mutmainnah sahaja yang mengenal Tuhannya. Nafsu ini sahaja yang tunduk dan yakin dengan Tuhannya serta redha dengan kehidupan ini. Nafsu Ammarah dan Lawwamah, segala tindak tanduknya, pemikiran, sangkaan dan andaiannya membelakangkan Allah SWT. Apabila kita meletakkan Allah SWT di bawah, berlakulah segala haru-biru di dalam kepala (pemikiran) dan tindak-tanduk kita.

Kewajipan umat muhammad


Umat Islam dikatakan mempunyai kewajipan melaksanakan Islam, sebagai penyelesaian segala kemelut yang berlaku hari ini. Tidak akan ada penyelesaian bagi segala kemelut yang melanda umat Islam hari ini, selagi mana nafsu Ammarah dan Lawammah tidak diproses.

Jika ada 1000 orang dalam nafsu Ammarah di dunia ini, maka akan ada 1000 perangai, pemikiran dan pendapat yang berlainan yang tidak akan dapat disatukan kerana nafsu Ammarah mempunyai keegoaan dan keakuan yang tinggi. Masing-masing mengatakan mereka yang lebih benar, lebih bijak, lebih berwawasan dan sebagainya.

Tetapi jika ada 1000 orang di dalam nafsu Mutmainnah, mereka semuanya akan menjadi satu, kerana semuanya memandang Keesaan Allah yang satu dan sepakat dengan segala hukum dan peraturan mengikut Al-Quran dan As-Sunnah.

Bolehkah mereka yang bernafsu Ammarah melaksanakan Islam, sedangkan sifat nafsu mereka itu sendiri selalu membelakangkan Allah SWT? Jika disuruh, dipujuk dan dipaksa si nafsu Ammarah melaksanakan Islam contohnya mengerjakan solat, berpuasa, menutup aurat dan sebagainya, mereka akan melakukannya tetapi jiwa mereka kosong dalam menghayati Kebesaran dan Keesaan Allah SWT. Tidak akan ada pengorbanan dan keikhlasan dalam melakukan yang disuruh dan ditegah Tuhan.

Jadilah ibadatnya hanya satu lakonan atau tradisi yang dipaksakan ke atas mereka kerana Islam mereka ialah Islam keturunan dan Iman mereka ialah Iman keturunan. Tidak ada jiwa dan roh Islam di dalam hati mereka yang bernafsu Ammarah dan Lawwamah. Jika si nafsu Ammarah ini membuat program-program untuk melaksanakan Islam, programnya juga masih bercampur-baur dengan segala kekufuran dan kesyirikan kerana si nafsu Ammarah dalam segala kerja buatnya tetap akan cuba meraih kepopularan, keakuan tanpa keikhlasan kepada Tuhannya.

Di sini, sepatutnya kita bertanya kepada diri kita sendiri mengapa setelah begitu banyak program yang kita jalankan untuk Islam tetapi kesannya sangat sedikit. Tidak akan ada keberkatan segala usaha kita itu jika tidak disertai dengan keikhlasan kita kepada Allah SWT. Walau bagaimanapun, sedikit kepura-puraan atau ada sedikit kepentingan diri dalam melaksanakan Islam itu lebih baik daripada menentang dan tidak berbuat apa-apa. Semoga Allah kemudiannya memberi memberi mereka taufik dan hidayahNya.

Proses nafsu ammarah


A-Ulama membersihkan hatinya, bermula dengan pengetahuan Feqah di susuli dengan usulluddin dan tauhid:

1.Membersihkan badannya, dengan mengikut segala peraturan Syariat,
2.Tariq dan Ibadat di dalam bab Fardu Ain dan Fardu Kifayah.
3.Kemudian barulah dia membersihkan hatinya.

Cara ini mengambil masa yang lama dan panjang walaupun dibuat dengan cara yang bersungguh-sungguh kerana ilmu Syariat itu sendiri terlalu luas dan banyak. Inilah yang diterap kan oleh umum masa kini, sehingga kadangkala terlupa perihal kenal akan Allah dek jangkamasa yang panjang. Pengukuhan akan Syariat penting agar tidak menjadi sombong dan gah pada pencipta yakni Allah.

B-Pembersihan jiwa pada Allah dgn rasa sebenar-benarnya takut pada Allah, untuk sampai kepada Allah dengan lebih cepat ialah mengaplikasikan cara yang dilakukan oleh para Anbiya dan para Aulia.

Pengosongan hati dan pembersihan jiwa agar terbuka mata hati. Denagn menghilangkan segala bisikan dan membuat tumpuan kepada Allah SWT, contohnya Nabi Muhammad SAW membersihkan hatinya dengan berkhalwat di gua Hira selama 5 tahun, selepas itu barulah baginda diangkat menjadi Rasul.

” Takut Tuhannya dengan erti kata takut yang sebenar-benarnya ialah menggunakan cara yang dilakukan oleh para Anbiya dan para Aulia”

Kesimpulan, selaras mengikut masa dan zaman, pengukuhan hati dan ibadah pada Allah haruslah dilakukan dengan bersama-sama tanpa menolak salah satu daripadanya, Fekah, Usulluddin dan Tauhid.        

Pendekatan yang digunakan oleh ahli-ahli sufi dan para Wali :

1. Mencari Guru Mursyid
2. Banyakkan berselawat, beristighfar, berzikir (dan lain-lain amalan yang diajar oleh guru)
3. Tumpuan media perasaan dan fikiran kepada Allah

SELAWAT


Selawat adalah amalan yang sangat disukai oleh Allah Taala sehingga Allah Taala dan MalaikatNya juga berselawat ke atas RasulNya:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
(Al-Ahzab : 56)

Di dalam hadis Rasulullah juga ada menyatakan tentang kelebihan berselawat ini, iaitu:

” Orang yang paling mulia dan lebih utama, di sisiKu ialah pada hari Kiamat ialah orang paling banyak berselawat ke atasKu”(Imam Muhyiddin Abi Zakaria Yahya bin Syarafuddin An-Nawawi,T.TH:316)

Kelebihan-kelebihan berselawat:

1. Para Malaikat akan berselawat pula ke atas pembaca selawat itu dan Allah akan menurunkan
    rahmatNya.
2. Allah akan mengurniakan kekayaan seumur hidupnya.
3. Mereka yang berselawat 500 kali sehari, Insya Allah akan memperolehi kemenangan dan
    keselamatan selamanya.
4. Akan terhapus sifat marah dan terjauh dari bala bencana.
5. Menjadi kekasih kepada Kekasih Allah
6. Terhindar daripada mengalami kesukaran untuk mencapai sesuatu yang dihajati.
7. Mendapat rezeki yang berkat, berhasil hajatnya dan terlindung daripada bala bencana.
8. Mendapat syafaat di dunia dan di akhirat. ( Haji Johari Haji Alias, 2001: 46-48 )

Ada banyak lagi kelebihan selawat itu jika diamalkan secara ikhlas. Di sini jelas, selawat adalah salah satu kaedah yang telah Allah SWT ajar kepada kita untuk meyelesaikan kemelut nafsu Ammarah dan Lawwamah.

Nabi Adam AS, manusia pertama di dunia, juga menyelesaikan kemelutnya ketika dikeluarkan dari syurga, iaitu bertawassul dengan menggunakan nama Nabi Muhammad SAW.

Apabila Nabi Adam AS tercampak ke dunia, selama 40 tahun, baginda menangis memohon keampunan daripada Allah Taala. Setelah diketemukan semula baginda dengan isterinya Hawa, iaitu di Jabal Rahmah, Adam AS dibuka kasyafnya oleh Allah Taala untuk melihat kalimah:

لا إله إلا الله محمد رسول الله 


Perkataan ini dilihat oleh Nabi Adam AS tertera di tiang Arash syurga. Dengan menggunakan Kebesaran dan Keberkatan nama Nabi Muhammad SAW, Adam memohon keampunan daripada Allah SWT sambi mengucapkan dua kalimah syahadah ini. Allah Taala kemudiannya mengampunkan Nabi Adam AS.

Contoh lain ialah kisah Qabil dan Habil (anak Nabi Allah AS). Ketika Qabil yang telah membunuh saudara kandungnya Habil, sedang ditenggelamkan oleh Allah SWT hingga ke paras pinggang ke dalam tanah, tiba-tiba teringat dia akan pengalaman ayahnya iaitu Nabi Adam AS lalu Qabil bertawwasul dengan Kebesaran dan Keberkatan nama Nabi Muhammad SAW, sehingga azabnya diringankan daripada ditelankan bumi kepada dicampakkan sahaja di tengah-tengah padang pasir. ( Hj Abdul Al-Hadhi: 26-28 )

ISTIGHFAR

Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحً


“Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha.” ( Surah At-Tahrim:8 )


Terdapat banyak kelebihan istighar jika amalan ini dilakukan secara istiqamah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Antara kelebihan adalah:


1. Allah akan melapangkan dirinya dari segala kesusahan dan melepaskannya daripadasegala
tekanan dan akan dikurniakan rezeki tanpa bisa dikira banyaknya.


2. Sesiapa yang beristighfar sebanyak 70 kali, nescaya Allah akan menghapuskan daripadanya
sebanyak 700 dosa.


3. Sesiapa yang mengerjakan kejahatan atau menganiayai dirinya, kemudian ia memohon
ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Tuhan itu Maha Pengampun,
Maha Pengasih.(Surah An-Nisa : 100)


4. Tuhan tidak akan menyiksa mereka selama mereka beristighfar. (Al-Anfal:33)

5. Mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat keberkatan dan melorong jalan untuk menuju
    kepada segala macam kebajikan samada di dunia atau di akhirat.


6. Mengurniakan pemberian yang baik kepadanya sehingga ke waktu yang ditentukan.


(Surah Hud: Ayat 3) (Imam Habib Abdullah Haddad, 1981 : 232-235)

Seperti amalan selawat, amalan istighfar yang dilakukan secara berterusan juga akan membersihkan hati yang penuh dengan zulmah hawa nafsu dan secara tidak langsung menyelesaikan kemelut hati dan kehidupan. Contohnya istighfar telah menyelesaikan kemelut Nabi Yunus A.S apabila baginda ditelan oleh ikan Nun. Nabi Yunus AS dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam laut kerana baginda masih ada ajalat (sifat-sifat mendahului Qodo Tuhan). Allah Taala memelihara nabiNya daripada sifat-sifat ajalat ini dengan membenarkan ikan Nun menelan Nabi Yunus AS. Nabi Yunus AS beristighfar untuk memohon keampunan daripada Allah Taala:

 
“Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang yang menzalimi dirinya.”
(Surah Al-Qalam : 87)

Nabi Yunus yang maksum juga sentiasa beristighfar iaitu sebanyak 70 kali sehari. Istighfar Nabi Muhammad SAW adalah untuk memperakui kehambaannya kepada Allah Taala dan membersihkan segala sel-selnya daripada segala rasa ‘ada diri’ atau ‘rasa keakuan’.

 
Sesungguhnya istighfar adalah pernyataan kehambaan kita kepada Allah Taala yang sangat tinggi nilainya. Dengan wujudnya rasa kehambaan kita kepada Allah Taala yang sangat tinggi nilainya. Dengan wujudnya rasa kehambaan ini akan terhakislah segala bisikan-bisikan nafsu Ammarah dan Lawwamah di hati dan fikiran kita. Insya Allah.

ZIKIR

Di dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman:
.
Yang bermaksud:“Dan hendaklah kamu mengingati akan Allah sebanyak-banyaknya (dalam segala keadaan) supaya kamu mendapat kejayaan.”(Surah Aj-Jumu’ah:10)
.

Fadhilat dan kebesaran zikir juga ada dinyatakan di dalam hadis:

Rasulullah SAW bersabda,

“Jika kamu melalui taman-taman syurga hendaklah kamu bertenang.” Maka para sahabat pun bertanya, “Ya Rasulullah, apa itu taman-taman syurga?” Lalu Rasulullah menjawab, “Taman syurga itu ialah halaqah zikir, maka sesungguhnya bagi Allah itu tunggangan-tunggangan daripada para malaikat yang mencari-mencari halaqah zikir maka apabila merxeka menemui kumpulan ini, para malaikat itu akan menghamparkan sayapnya menaungi mereka-mereka yang sedang berzikir.” (Apabila para malaikat menaungi kumpulan-kumpulan zikir ini, secara tidak langsung kumpulan ini mendapat rahmat dan keampunan Allah).Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Umar.

Kesan amalan zikir dilakukan yang dilakukan secara berterusan pula dikatakan akan:

1. Menghalau tenaga-tenaga jahat dan mengelakkan gangguannya.
2. Mendapat keredhaan Tuhan
3. Memurahkan rezeki
4. Menjadikan peribadi mulia dan agung
5. Mencapai taraf kehampiran dengan Allah
6. Menghidupkan dan menyedarkan hati
7. Menghilangkan kesilapan dan kecacatan
8. Memelihara mulut daripada mengumpat dan mengeji
9. Menyembuhkan penyakit hati
10. Membuangkan ketakutan dan dukacita di dalam hati
11. Menghindarkan sifat-sifat munafik

Mencapai kemenangan apabila berhadapan dengan musuh zahir dan batin Dalam ilmu tasawwuf, melihat terlalu banyak fadhilat atau kebaikan dalam setiap amalan yang kita lakukan seharusnya dihindarkan. Di dalam peringkat nafsu Ammarah dan Lawwamah, kita tidak dapat mengelakkan diri kita daripada membuat sesuatu tanpa mendapat ganjaran dan hadiah-hadiah yang Allah nyatakan dalam bentuk fadhilat-fadhilatNya ini. Para guru tasawwuf akan membimbing muridnya, mengosongkan diri mereka daripada mengharapkan sesuatu daripada amalan mereka. Ini kerana inginkan syurga dan takutkan neraka ini masih lagi dikira ajalat. Bukankah syurga dan neraka itu juga makhluk Allah?
Tumpuan amalan kita ialah semata-mata menjadi hamba Allah yang sehamba-hambanya seperti kata-kata Rabiatul Adawiyah:

“Ya Allah! Jika aku menyembahMu kerana takut kepada neraka bakarlah aku di dalam nerakaMu. Dan jika aku menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu, campakkanlah aku keluar daripada syurgaMu. Tetapi jika aku menyembahMu demi Engkau semata, janganlah Engkau enggan memperlihatkan wajahMu yang abadi kepadaku.”

Secara halus tanpa kita sedari, jika kita melakukan sesuatu amalan kerana inginkan fadhilatNya akan terdetik hati kita suatu hari nanti, perasaan kecewa seandainya Allah menangguhnya atau melambatkan fadhilat-fadhilat ini. Contohnya dapat kita lihat pada mereka yang suatu ketika dahulu kuat beribadat tetapi kemudiannya berubah, lalu sukakan maksiat. Perubahan sikap ini berlaku kerana amalan-amalan yang mereka tidak dapat membersihkan aqdar-aqdar kekotoran nafsu Ammarah dan Lawwamah mereka.

Menurut Imam Al-Ghazali, untuk menjadi ‘Orang Allah’ atau Kekasih Allah dan mendapat ilmu Allah, orang itu mestilah terlebih dahulu berawas sebelum berjaya iaitu berhati-hati dengan godaan hawa nafsu dan maksiat yang ada pada nafsu Ammarah dan Lawwamah. Dan telah berkata Imam Al-Ghazali:
“Sesungguhnya ada seketul daging di dalam badan (hati), apabila suci ia, maka akan sucilah seluruh anggota badannya. Hati ibarat raja dan badan ibarat rakyat. Jika raja memimpin lurus maka luruslah seluruh rakyatnya.”
(makam imam al-Ghazali)

Pengajaran daripada kata-kata nasihat Imam Al-Ghazali ini ialah hati dan pemikiran kita mestilah kita hindarkan daripada segala bisikan hawa nafsu. Hati ini juga, mestilah sentiasa kita gilap dengan selawat, istighfar dan zikir. Kerana ketiga-tiga amalan ini bertentangan dengan bisikan dosa dan maksiat. Di sini, segala amalan dan kebaikan yang kita lakukan mestilah semata-mata kerana Allah tanpa mengharap apa-apa ganjaran daripadaNya. Apabila seseorang itu sudah sampai ke peringkat ikhlas dan luhur yang sebenar-benarnya, maka sampailah ia ke tahap di mana ilmu yang diperolehi dari kitab dan buku tidak perlu lagi (peringkat ilmu Laduni).

Di peringkat maqam nafsu Mutmainnah, kita sebenarnya sudah ada kekuatan menyelesaikan segala kemelut nafsu yang juga merupakan punca segala kemelut kehidupan. Di peringkat nafsu Mutmainnah ini, kita sudah mendapat ‘Jemputan Tuhan’ untuk menjadi kekasih yang dikasihiNya. Kerana pada peringkat nafsu ini, kita telah ada sifat-sifat mulia sebagai hambaNya yang redha, sabar, yakin, zuhud, taqwa dan lain-lain. Hamba-hamba Allah yang mulia dan berjiwa tenang ini tentulah tidak ada apa-apa kemelut dalam hati dan kehidupannya, walaupun dirinya sebatang kara dan sehelai sepinggang.

Yakin dengan ALLAH




Yakin, Allah Taala tidak akan memahamkan kita, maksud sebenarnya sehingga Allah Taala menimbulkan rasa yakin di hati kita. Kejahilan kita ialah kita ingin memahami pengertian yakin itu dalam nafsu Ammarah dan Lawwamah. Itu gila namanya!. Selagi kita tidak fana’ nafsu kita yang dibangsakan haiwan itu, selagi itu kita jangan mimpilah memahami pengertian atau maksud yakin itu.







Yakin tidak boleh kita peroleh dengan angan-angan dan bakhil. Untuk mendapatkan keyakinan, kita kena tinggalkan atau buang hawa nafsu Ammarah dan Lawwamah kita. Contoh yakin kepada Allah dapat kita lihat pada watak Bilal.
Bilal tetap mengatakan ‘Ahad, Ahad’, sehingga hilang kesengsaraannya apabila dia diseksa oleh Ummayyah, kerana Bilal dapat merasa manisnya iman dan tingginya Keesaan Allah. Bilal tetap mengatakan ‘Ahad, Ahad’, walaupun di tengah panas. Mulutnya tetap menyebut ‘Ahad’, sehingga menghilangkan perasaan penderitaan pada jasad makanan cacingnya.

Bilal mendahulukan media keyakinan kepada Tuhan, mengatasi penderitaan jasad yang diseksa oleh Ummayyah. Bilal berkata ‘Ahad’ , seolah-olah berkata ‘Seksalah hai Ummayyah, kembali kepada syirik tidak sekali.’ Jasad Bilal hanya hamba, tetapi keyakinannya cukup tinggi. Inilah perjuangan kita iaitu mendapatkan keyakinan yang tinggi kepada Allah sebagaimana keyakinan Bilal.


Kita tidak akan dapat media keyakinan yang tinggi ini selagi kita duduk dengan orang yang berkecamuk kepala otaknya dengan nafsu Ammarah dan Lawwamah. Tuhan tidak akan memberikan taufik dan hidayah-Nya. Asuh diri kita dan proses jiwa kita daripada segala media-media kekufuran dan kesyirikan. Sungguh-sungguh kita yakin kepada Tuhan dan carilah dan kenallah Tuhan kita dengan mendalami ilmu-Nya iaitu syariat, tariqat, hakikat dan makrifat.

Carilah orang-orang Allah ( guru yang Mursyid) untuk membimbing kita ke jalan-Nya.

Mursyid

Yang awal dijadikan Allah ialah rohku. Ia dijadikan daripada cahaya Ketuhanan.”(Syeikh Muhyiddin Abdul Qader Al-Jailani/Majid Hj.Khatib, 1999: 1)


“Daripada Nur Muhammad ini, kemudiannya Allah ciptakan makhluk-makhluknya yang lain. Roh-roh ini kemudiannya diturunkan dari Alam Lahut ke Alam Malakut dan kemudiannya ke Alam Kebendaan atau Alam Ajsam.”( Syeikh Muhyiddin Abdul Qader Al-Jailani/Majid Hj.Khatib, 1999: 7-8 )



Nur atau warid tetap berasal daripada Nabi Muhammad SAW kemudian diambil oleh Sahabat, kemudian oleh Tabiin, kemudian oleh Tabiin At-Tabiin, kemudian oleh seterusnya hingga akhir dunia.

Dikalangan umat-umat Islam yang kuat beribadat dan tinggi ilmu Syariatnya tetapi hati mereka masih kosong dengan kesan-kesan warid atau nur. Warid dan nur hanya kita perolehi setelah datangnya sifat takwa, khauf, zahid dan tawakal dengan sebenar-benarnya.

Masih ada umat Islam yang dikatakan alim dan kuat beribadat ini masih boleh menzalimi dirinya, iaitu dengan mudah “menjual akhiratmya” untuk mendapat habuan dunia? Mengapa? Jawapannya ialah ibadat mereka tidak berhubung langsung dengan jalan maghrifatullah. Hendaklah kita faham bahawa ibadat golongan ini hanyalah untuk menuntut pahala akhirat dan bukan sebagai alat pembersih hati. Bukanlah menjadi kesalahan dalam peribadatan yang kuat pada Allah tetapi nilai ibadah antara Arif dan abid adalah berbeza disisi Allah. Siapakah Abid? Siapakah Arif?

kita beristighfar, berselawat dan berzikir tetapi mengapa kita masih tidak dapat mengatasi nafsu Ammarah dan Lawwamah kita?

Kita tidak akan boleh sampai ke peringkat makam nafsu yang lebih tinggi daripada nafsu Mutmainnah walaupun ia ulama yang alim dalam ilmunya. Bagaimana boleh kita katakan ulama itu alim kalau ulama itu sendiri tidak menguasai ilmu makrifah? Bukankah ilmu makrifah dan hakikat itu wajib, contohnya dalam firman Allah SWT dalam hadis Qudsi:
Yang bermaksud;
“Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Maka AKu suka bahawa Aku dikenali, maka Aku ciptakan manusia supaya Aku dikenali.”
( Syeikh Muhyiddin Abdul Qader Al-Jailani 1993: 18 )


Maka di sini Allah SWT menerangkan bahawa Allah SWT menciptakan manusia untuk mengenaliNya dan wajib atas manusia mengenaliNya melalui segala ilmuNya iaitu Syariat, Tariqat, Hakikat dan Makrifat. 

Syeikh Muhyiddin Abdul Qader Al-Jilani juga pernah menyatakan tentang kepentingan ilmu hakikat dan makrifat ini iaitu:
Apa yang perlu bagi orang awam ialah mencari orang yang memiliki Bashirah (Kasyaf). Orang seperti inilah yang akan menjadi guru yang dapat membantu dan membimbing kita untuk membuka mata hati kita.(Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jilani, Abdul Majid Hj Khatib, 1999:12)

Untuk sampai kepada ilmu Hakikat dan Makrifat, pembersihan hati amat diperlukan kerana ilmu ini ialah ilmu batin. Pembersihan hati hanya dapat dilakukan setelah kita berjaya dalam mujahadah kita melawan hawa nafsu Ammarah dan Lawwamah. Setinggi mana sekalipun ilmu Syariat kita, ilmu itu tidak akan dapat menyelesaikan kemelut nafsu kerana ilmu Syariat hanyalah diibaratkan kulitnya sahaja.

Sesiapa yang belajar ilmu Allah tidak merangkumi kedua-dua ilmu iaitu Fekah dan Tasawuf, maka menurut kata Imam Malik RA:
“Barangsiapa belajar ilmu Tasawuf tetapi tidak belajar ilmu Fekah menjadi kafir zindik. Barangsiapa belajar ilmu Fekah tetapi tidak belajar ilmu Tasawuf menjadi fasik dan barangsiapa menghimpunkan kedua-duanya maka jadilah ia ulama yang muhakik yang Arif Billah.”(Imam Malik RA, Siru-Assalikin, Juzuk 1:10)

Dalam ilmu kesufian, ada banyak ‘batu penguji tasawuf’ atau ujian yang terpaksa kita tempuhi. Ujian-ujian ini sebenarnya untuk menyedarkan kita dan memberi kita ilmu. Berguru dengan guru kesufian ibarat berada di dalam sebuah kem latihan nafsu. Pelbagai ujian atau latihan terpaksa dihadapi sehingga akhirnya nafsu kita tunduk dan mengakui kehambaannya kepada Allah Taala. Nafsu perlu digempur habis-habisan supaya ia sedar dirinya. Kem kesufian ini samalah seperti bagaimana Allah Taala di alam Lahut memproses memproses hawa nafsu.