Pages

Saturday, December 11, 2010

ZIKIR

Di dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman:
.
Yang bermaksud:“Dan hendaklah kamu mengingati akan Allah sebanyak-banyaknya (dalam segala keadaan) supaya kamu mendapat kejayaan.”(Surah Aj-Jumu’ah:10)
.

Fadhilat dan kebesaran zikir juga ada dinyatakan di dalam hadis:

Rasulullah SAW bersabda,

“Jika kamu melalui taman-taman syurga hendaklah kamu bertenang.” Maka para sahabat pun bertanya, “Ya Rasulullah, apa itu taman-taman syurga?” Lalu Rasulullah menjawab, “Taman syurga itu ialah halaqah zikir, maka sesungguhnya bagi Allah itu tunggangan-tunggangan daripada para malaikat yang mencari-mencari halaqah zikir maka apabila merxeka menemui kumpulan ini, para malaikat itu akan menghamparkan sayapnya menaungi mereka-mereka yang sedang berzikir.” (Apabila para malaikat menaungi kumpulan-kumpulan zikir ini, secara tidak langsung kumpulan ini mendapat rahmat dan keampunan Allah).Hadis ini diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Umar.

Kesan amalan zikir dilakukan yang dilakukan secara berterusan pula dikatakan akan:

1. Menghalau tenaga-tenaga jahat dan mengelakkan gangguannya.
2. Mendapat keredhaan Tuhan
3. Memurahkan rezeki
4. Menjadikan peribadi mulia dan agung
5. Mencapai taraf kehampiran dengan Allah
6. Menghidupkan dan menyedarkan hati
7. Menghilangkan kesilapan dan kecacatan
8. Memelihara mulut daripada mengumpat dan mengeji
9. Menyembuhkan penyakit hati
10. Membuangkan ketakutan dan dukacita di dalam hati
11. Menghindarkan sifat-sifat munafik

Mencapai kemenangan apabila berhadapan dengan musuh zahir dan batin Dalam ilmu tasawwuf, melihat terlalu banyak fadhilat atau kebaikan dalam setiap amalan yang kita lakukan seharusnya dihindarkan. Di dalam peringkat nafsu Ammarah dan Lawwamah, kita tidak dapat mengelakkan diri kita daripada membuat sesuatu tanpa mendapat ganjaran dan hadiah-hadiah yang Allah nyatakan dalam bentuk fadhilat-fadhilatNya ini. Para guru tasawwuf akan membimbing muridnya, mengosongkan diri mereka daripada mengharapkan sesuatu daripada amalan mereka. Ini kerana inginkan syurga dan takutkan neraka ini masih lagi dikira ajalat. Bukankah syurga dan neraka itu juga makhluk Allah?
Tumpuan amalan kita ialah semata-mata menjadi hamba Allah yang sehamba-hambanya seperti kata-kata Rabiatul Adawiyah:

“Ya Allah! Jika aku menyembahMu kerana takut kepada neraka bakarlah aku di dalam nerakaMu. Dan jika aku menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu, campakkanlah aku keluar daripada syurgaMu. Tetapi jika aku menyembahMu demi Engkau semata, janganlah Engkau enggan memperlihatkan wajahMu yang abadi kepadaku.”

Secara halus tanpa kita sedari, jika kita melakukan sesuatu amalan kerana inginkan fadhilatNya akan terdetik hati kita suatu hari nanti, perasaan kecewa seandainya Allah menangguhnya atau melambatkan fadhilat-fadhilat ini. Contohnya dapat kita lihat pada mereka yang suatu ketika dahulu kuat beribadat tetapi kemudiannya berubah, lalu sukakan maksiat. Perubahan sikap ini berlaku kerana amalan-amalan yang mereka tidak dapat membersihkan aqdar-aqdar kekotoran nafsu Ammarah dan Lawwamah mereka.

Menurut Imam Al-Ghazali, untuk menjadi ‘Orang Allah’ atau Kekasih Allah dan mendapat ilmu Allah, orang itu mestilah terlebih dahulu berawas sebelum berjaya iaitu berhati-hati dengan godaan hawa nafsu dan maksiat yang ada pada nafsu Ammarah dan Lawwamah. Dan telah berkata Imam Al-Ghazali:
“Sesungguhnya ada seketul daging di dalam badan (hati), apabila suci ia, maka akan sucilah seluruh anggota badannya. Hati ibarat raja dan badan ibarat rakyat. Jika raja memimpin lurus maka luruslah seluruh rakyatnya.”
(makam imam al-Ghazali)

Pengajaran daripada kata-kata nasihat Imam Al-Ghazali ini ialah hati dan pemikiran kita mestilah kita hindarkan daripada segala bisikan hawa nafsu. Hati ini juga, mestilah sentiasa kita gilap dengan selawat, istighfar dan zikir. Kerana ketiga-tiga amalan ini bertentangan dengan bisikan dosa dan maksiat. Di sini, segala amalan dan kebaikan yang kita lakukan mestilah semata-mata kerana Allah tanpa mengharap apa-apa ganjaran daripadaNya. Apabila seseorang itu sudah sampai ke peringkat ikhlas dan luhur yang sebenar-benarnya, maka sampailah ia ke tahap di mana ilmu yang diperolehi dari kitab dan buku tidak perlu lagi (peringkat ilmu Laduni).

Di peringkat maqam nafsu Mutmainnah, kita sebenarnya sudah ada kekuatan menyelesaikan segala kemelut nafsu yang juga merupakan punca segala kemelut kehidupan. Di peringkat nafsu Mutmainnah ini, kita sudah mendapat ‘Jemputan Tuhan’ untuk menjadi kekasih yang dikasihiNya. Kerana pada peringkat nafsu ini, kita telah ada sifat-sifat mulia sebagai hambaNya yang redha, sabar, yakin, zuhud, taqwa dan lain-lain. Hamba-hamba Allah yang mulia dan berjiwa tenang ini tentulah tidak ada apa-apa kemelut dalam hati dan kehidupannya, walaupun dirinya sebatang kara dan sehelai sepinggang.